mencetuskan REVOLUSI MALAYA

May 15, 2012

Mengapa PAS Tidak Boleh Bersama UMNO?


Masih ada lagi yang bertanya, mengapa PAS tidak boleh bersama UMNO sedangkan boleh pula bersama DAP dan PKR? Saya rasa saya sudah jawab ini berkali-kali tetapi biarlah buat kali terakhirnya saya jawab sekali lagi.

Jawapan saya berbentuk cerita dan ceritanya begini:-

Ada seorang, ia itu Melayu-A, menjemput seorang yang lain, ia itu Melayu-B ke kelab malam untuk minum beer. Pada masa yang sama ada pula seorang bukan Melayu yang menjemput Melayu-B ke kedai mamak untuk minum teh tarik. Maka Melayu-B memilih untuk bersama yang bukan Melayu untuk ke kedai mamak.

Tiba-tiba Melayu-A tadi marah dan terus berkata, “Hoi Melayu, tidak sedar dirikah? Awak tu Melayu, aku Melayu, awak Islam, aku Islam, sepatutnya awak bersama aku, bukan dengan yang bukan Islam!” Melayu-B pun terkejut dengan bantahannya dan terus menjawab, “Tapi kamu ajak saya untuk ke kelab malam untuk minum beer!” Dengan bersahaja Melayu-A menjawab, “Tidak mengapa, saya minum beer, awak minumlah air Cola!”

Persoalanya, adakah wajar tindakan sedemikian? Walaupun tidak minum beer bersama, sebagai seorang Islam Melayu-A tidak boleh meminum beer dan jika Melayu-B berada bersama walaupun ditangannya hanya memegang segelas Cola, ia tetap bersubahat dengan kejahatan tersebut.

Pengajaran dari cerita yang ringkas ini ialah, yang penting bukan buat sesuatu ‘dengan siapa’, tetapi ‘buat apa’. Kalau buat jahat, walaupun dengan ustadz, ianya tetap jahat dan akan tetap berdosa. Kalau buat baik, walaupun dengan orang bukan Islam, ianya tetap kerja baik dan orang Islam tersebut tetap mendapat pahala!

UMNO ingin meneruskan budaya politik rasuah, fitnah, lucah, menyeleweng, menindas dan perkaumannya. Kalau PAS turut bersama mereka, maka akan turut terpalit dengan budaya yang jijik itu. Pemuda-pemuda PAS akan diminta mengedarkan video lucah yang kononnya melibatkan DSAI. PAS juga akan diminta membela segala penyelewengan seperti kes NFC dan juga menghalalkan pembantaian rakyat oleh pihak polis pada 28 April lalu.

Sedangkan apabila PAS bertanya kepada PKR dan DAP mengenai apa yang mereka ingin usahakan, mereka menjawab “sebuah kerajaan yang bebas rasuah, adil, berkebajikan terhadap rakyatnya dan bebas perkauman”. Pada masa yang sama, institusi keagamaan akan dibebaskan dari kongkongan UMNO yang ingin membantutkan Islam sehingga menjadi agama yang sempit dan tidak berwibawa.

Apabila dibandingkan kedua-dua pilihan dan diletakkan di hadapan PAS, maka adalah amat jelas bahawa pilihan PR adalah yang lebih baik. Ingat! Yang penting bukan soal ‘buat dengan siapa’ tetapi yang penting adalah ‘buat apa’?

Ini selari dengan kata-kata masyhur Saidina Ali (KW), “undzur ilaa maa qala wa laa tandzur ilaa man qala” atau “lihat pada apa yang dikatakan dan jangan kamu lihat pada siapa yang mengatakannya". Dalam erti kata lain, sokonglah kebenaran walau siapa sekalipun yang memperjuangkannya.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...