mencetuskan REVOLUSI MALAYA

Aug 2, 2010

ISA

Al-Bughah dalam perundangan Islam



Hukum tentang al-Bughah (pemberontak/penceroboh) dalam perundangan Islam ditetapkan oleh ayat 9 Surah al-Hujurat yang bermaksud:



“Dan sekiranya dua kumpulan orang beriman saling berperang maka damaikanlah antara kedua-duanya, jika salah satu kumpulan telah menceroboh ke atas kumpulan yang lain maka perangilah kumpulan yang menceroboh itu sehingga ia kembali kepada Allah (dengan meninggalkan perbuatan menceroboh). Jika ia telah kembali, maka damaikanlah kedua-duanya dengan adil, dan berlaku saksamalah, sesungguhnya Allah suka orang-orang yang melakukan kesaksamaan.”



Dalam al-Sunnah juga terdapat beberapa hadis sahih tentang al-Bughah. Antaranya:



1. Daripada `Abdullah bin `Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:

“Sesiapa yang telah menghulurkan tangan dan hatinya (memberi bai`ah/kesetiaan) kepada seseorang pemimpin, maka hendaklah dia mentaatinya selagi termampu. Sekiranya datang seorang lain yang cuba menentangnya (memerangi pemimpin yang dibai`ah itu) maka pancunglah kepala penentangnya itu.” (Riwayat Muslim)



2. Daripada Ibn `Abbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:

“Sesiapa yang melihat sesuatu perkara yang tidak disukai daripada ketuanya maka hendaklah dia bersabar. Sesungguhnya sesiapa yang berpisah daripada jamaah walaupun sejengkal lalau dia mati maka matinya adalah mati jahiliyyah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)



3. Daripada `Awf bin Malik al-Asyja`ie beliau berkata, “aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:

“Sebaik-baik pemimpin kamu ialah yang kamu kasihi mereka dan mereka kasihi kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan untuk kamu. Seburuk-buruk pemimpin ialah yang kamu benci mereka dan mereka bencikan kamu, kamu laknat mereka dan mereka melaknat kamu.” Kami berkata, “Wahai Rasulullah, bolehkah kami memerangi mereka?” Baginda menjawab, “Jangan! Selagi mereka bersembahyang bersama kamu kecuali orang yang diperintah oleh seorang pemimpin yang melakukan maksiat, maka hendaklah dia membenci maksiat yang dilakukan itu dan jangan sekali-kali mencabut ketaatan.” (Riwayat Muslim, Ahmad dll.)



4. Daripada Huzayfah bin al-Yaman r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:

“Akan ada selepasku para pemimpin yang tidak mengikut petunjukku dan tidak melakukan sunnahku. Akan ada di kalangan kamu pemimpin yang hatinya seperti hati syaitan dalam jasad manusia.” Aku (Huzayfah) bertanya, “Bagaimana harus aku lakukan jika aku sempat dengan suasana itu wahai Rasulullah?” Jawab baginda, “Kamu dengar dan taat walaupun dia (pemimpin itu) menyebat kamu dan mengambil harta kamu, hendaklah kamu dengar dan taat.” (Riwayat Muslim, al-Bayhaqi dll.)



5. Daripada `Ubadah bin al-Somit beliau berkata,

“Kami telah membai`ah Rasulullah s.a.w. untuk dengar dan taat dalam keadaan kami suka atau benci, kami senang atau susah, mengutamakan pemimpin daripada diri kami dan untuk tidak menentang pemimpin melainkan terdapat kekufuran yang jelas hukumnya dalam agama Allah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)



6. Daripada Abu Dzar bahawa Rasulullah s.a.w. berkata,

“Wahai Abu Dzar, bagaimanakah kamu sekiranya nanti kamu berada di bawah pemimpin yang tamak dan tidak membahagikan harta al-faie ini?” Jawab Abu Dzar, “Demi Allah yang mengutuskan tuan dengan kebenaran, aku akan pikulkan pedang atas bahuku dan memeranginya sehingga aku bertemu tuan.” Baginda pun bersabda, “Mahukah jika aku tunjukkan kepadamu yang lebih baik daripada itu? Iaitu engkau bersabar sehingga engkau menemuiku.” (Riwayat Imam Ahmad, dalam sanadnya terdapat perawi bernama Khalid bin Wahaban, Ibnu Hibban menthiqqahkannya manakala Abu Hatim pula mengatakannya majhul)



Semua hadis di atas dan beberapa hadis lain yang berkaitan boleh didapati dalam kitab Nayl al-Awtor (7/171-173) oleh Imam al-Syawkani, kitab al-Tasyri` al-Jinai al-Islami (2/671-673) karangan Syeikh Dr. Abdul Qadir `Awdah dan juga kitab-kitab lain.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...