mencetuskan REVOLUSI MALAYA

Aug 29, 2010

KITA BEDIKIR SEBAGAI KARYAWAN DAN SENIMAN YANG MULIA, ATAU SEBAGAI BADUT DAN HAMBA ABDI YANG HINA


Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum peminat saya semua. Kali ini saya ingin berkongsi pendapat dan pengalaman dengan peminat semua tentang siapa kita sebenarnya apabila kita bedikir?

Idea ini sudah lama ada dalam fikiran saya. Cuma kali ini baru saya catatkan untuk fikirkan bersama. Catatan ini adalah urutan daripada panggilan telefon yang saya terima dari dua orang pelajar IPT minggu lepas.

Seorang pelajar IPTA di Shah Alam meng'helo' saya. Mintanya berbunyi begini: "Abe Halim, saya nak mintak tolong abe Halim buat skrip dikir untuk kami. Kumpulan dikir universiti kami nak masuk pertandingan lepas raya ni. Tajuk dan temanya ialah bla bla bla bla....."

Dua hari lepas tu, seorang lagi pelajar IPTA di Terengganu meminta perkara yang sama.

Untuk kedua-dua orang peminat saya itu, dan untuk semua yang lain, jawapan saya berbunyi begini:
Bagi saya, BEDIKIR ADALAH BERKARYA. Berkarya maksudnya melahirkan dan menyatakan idea, fikiran, pandangan hatta perasaan yang ada dalam diri. Yang kita lahirkan itu adalah dipanggil hasil karya. Lirik dan senikata lagu dikir adalah salah satu hasil karya. Hasil karya yang baik ialah yang lahir secara ikhlas dan jujur dari jiwa, diri dan hati seseorang pengkarya atau karyawan atas kehendak dan naluri karyawan itu sendiri. Karyawan dalam melahirkan hasil karyanya adalah bebas dan tidak terpaksa dan dipaksa. Ini bermakna, hasil karya tidak boleh dikeluarkan tanpa kerelaan dan kejujuran serta kehendak hati pengkarya atau karyawan. Bagaimana mahu dikeluarkan jika ianya tiada? Jika ia dikeluarkan juga; maka keluarlah hasil karya yang kosong, hodoh, bodoh, bersifat keterpaksaan, tidak ikhlas, dan palsu.

"Jadi bukan abe tak mahu tolong, tapi harap adik faham pendirian abe sebagai pengkarya dikir" Demikianlah jawapan saya kepada mereka. Syukurlah mereka memahami.

Bedikir bagi saya bukan untuk suka-suka, bukan untuk cari kawan dan berkawan, dan bukan juga untuk 'pelepas angin', bukan untuk 'ssegar angin'. Saya tidak ada masa untuk main-main. Saya dah ramai kawan. Angin pun sudah segar di laut lepas. Bedikir bagi saya adalah satu kerja dan tanggungjawab yang berat. Dan karya adalah anugerah yang tidak ternilai yang dikurniakan oleh Allah Yang Maha Pencipta kepada kita. Orang bedikir dan dikir adalah media sahaja.

Jadi kalau kita bedikir untuk melahirkan hasil karya anugerah Allah kepada kita, ianya bagi saya sangat mulai. Tetapi jika kita bedikir dengan lirik dan senikata yang dipaksa-paksa (seperti kebanyakan pertandingan yang menetapkan tajuk dan temanya; dan orang bedikir dipaksa dan terpaksa, serta memaksa diri membuat senikata lagu dan lirik sebagaimana yang dikehendaki oleh penganjur), maka jadilah orang bedikir itu sebagai badut dan hamba abdi yang sangat hina.

Sudah sampai masanya orang bedikir mengerti bahawa selama ini ramai di antara kita menjadi hina dina kerana menyertai pertandingan dikir anjuran orang yang gagal memahami falsafah dan pemikiran dalam dikir. Siapa kata dikir adalah media propangganda? Itu dulu. Marilah kira sedar bahawa dikir bukanlah alat propanggada mana-mana individu atau organisasi, mana-mana rakyat atau kerajaan, mana-mana orang miskin atau kaya, mana-mana orang penakut atau orang gedebe, mana-mana tok pakir atau dato. Orang bedikir sebenarnya bebas dan bukan hina.!

Saya harap dengan tulisanm ini, kita orang bedikir seluruh negara sedar dan tidak lagi membiarkan diri kita menjadi 'hemekong' dan 'kasut' orang.
Berita Terkini

22/07/2010 - 2.00pm

BILA SAYA ADA WAKTU UNTUK MENCATAT....
TENTANG BERDIKIR DI MALAM JUMAAT.

" Saya dijemput oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak untuk membuat persembahan malam ini (Khamis malam Jumat) di Ipoh (Greentown Mall) sempena Karnival Bulan Berzakat Peringkat Negeri Perak 2010. Lantas saya memberitahu kawan-kawan dan peminat di sana untuk sama datang menyaksikan dan memeriahkan persembahan tersebut.

Maka ramailah peminat dan kawan-kawan di sana bertalu-talu menghantar sms bertanya.." betul ke? .. sungguh ke? jadi ke?" kerana malam ni malam Jumaat. Senang saja saya jawab. Kenapa? kalau malam Jumaat? tak boleh ke? Mereka kata pulak mana boleh berdikir malam Jumaat, tak pernah dibuat orang; dulu-dulu mana ada orang di Kelantan berdikir malam Jumaat ?

Apa yang seronok saya nak catatkan di sini ialah pandangan masyarakat kita selama ini tentang dikir barat. Bagi mereka, dikir barat tak boleh dimainkan di malam Jumaat; sekaligus memberi tafsiran bahawa berdikir itu kerja salah. Bagi saya, berdikir itu kerja HARUS dan kadang-kadang SUNAT, bukannya HARAM. kalau tidak boleh berdikir malam Jumaat, maka berdikir itu tak boleh atau salah atau berdosa atau haram.

Kalau haram, maka bukan saja malam Jumaat yang tak boleh, malam bila-bila pun tak bolehlah. Cuma berdikir tidak boleh kalau/apabila ianya mengganggu atau bertindih masa dengan acara keagamaan Islam kita yang lebih penting seperti Malam Maulud Nabi, Malam-Malam Bulan Ramadhan, Malam Nasfu Sya'ban dan sebagainya; maka dikir barat kenalah mengalah dan memberi laluan.

Perkara kedua yang seronok saya nak catat ialah tentang berdikir di masjid. Bagi saya itu pun tidak ada masalah asalkan tidak melanggar masa, hukum dan petarutan lain di masjid. Memang salah dan berdosalah, kalau waktu solat, kita berdikir; bukan saja di masjid; kalau waktu orang tengah solat di masjid, kita berdikir dalam gua pun salah lah !!!.

Perkara ketiga ialah, ada seorang kawan pendikir saya di Kelantan (orang ni popular jugak dan suaranya pun merdu/sedap dan albumnya pun banyak) selalu memberitahu orang bahawa tak lama lagi dia nak bersara dah berdikir kerana malu pada anak-anaknya yang sudah pun dewasa. Persoalannya ialah kenapa malu? Kalau malu maka maknanya kerja itu salah atau tak betul. Kalau kerja betul , pasti tak malu berdikir depan sesiapapun; bahkan bangga.

Bagi saya, saya seronok dan bangga serta bersyukur bila berdikir; tak kiralah siapa ada di depan saya sebagai penonton; anak saya ke? cucu saya ke? orang alim, ulamak, para wali, dato-dato, profesional atau sesiapa saja kerana saya yakin kerja berdikir saya adalah BETUL dan tidak berdosa.

Jadi, marilah kita sa-sama mengubah tafsiran dan pandangan tentang persembahan dikir barat; tetapi kita aktivis seni dikir dan persembahan kita hendaklah terlebih dahulu menjadi benar dan halal. Saya bersyukur kerana sepanjang penglibatan saya dalam seni dikir ni sejak 1974 hingga sekarang, persembahan saya tidak pernah diharamkan di mana-mana dan oleh sesiapapun

Wallahua'lam.

1 comment:

Mie Kickdefella said...

artikel dari halim yazid

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...