mencetuskan REVOLUSI MALAYA

Oct 26, 2010

Memerdekakan anak-anak muda - NURUL IZZAH ANUAR


Apabila menyebut menyebut mengambil kira pandangan anak-anak muda, saya langsung teringat kepada nama-nama Muhamad Hilman Idham, Muhammad Ismail Aminuddin, Azlin Shafina Mohamad Adzha dan Woon King Chai yang digantung pengajian kerana didapati terlibat dengan politik.

Terlalu banyak cakap-cakap didengar mengenai perlunya memenangi hati anak muda, memahami keperluan atau belajar daripada pengalaman mereka dalam merangka dasar-dasar negara.

Namun suara-suara sebegini, yang kalau datangnya daripada ahli politik biasanya kedengaran dengan hanya satu tujuan, untuk memastikan anak-anak muda yang layak mengundi memilih mereka.

Kata-kata atau mungkin kepura-puraan rasa bimbang dengan keperluan anak muda jarang sekali datang dengan cadangan penyelesaian atau keinginan untuk membawa kebebasan sebenar kepada golongan muda, hanya soal jumlah undi menjadi perhitungan.

Baru-baru ini kedengaran cadangan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil mencadangkan kerajaan menjadikan golongan muda sebagai tapak ujian pelaksanaan dasar bagi mendapatkan pandangan baru.

Pandangan ini sememangnya sesuatu yang baik, sekiranya kerajaan mahu mengakui bahawa anak-anak muda negara ini tidak bebas sepenuhnya dan tidak dapat menikmati hak berwarganegara yang sama rata.

Ambil sahaja contoh mahasiswa yang berjumlah lebih setengah juta di negara ini. Kumpulan ini, walaupun bijak tetapi tidak dibenarkan terlibat langsung dalam aktiviti-aktiviti politik.

Kekangan ini wujud dalam bentuk Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang cukup kuat dipertahankan ramai pemimpin kerajaan, kecuali satu dua orang seperti Datuk Saifuddin Abdullah, yang menjadi Timbalan Menteri di Kementerian Pengajian Tinggi.

Dari segi sejarahnya, kawalan ke atas aktiviti mahasiswa ini diperkenalkan supaya kecacatan kerajaan tidak dapat ditegur golongan mahasiswa. Walaupun sudah dipinda pada 2008 untuk memberi kelonggaran, mahasiswa masih terikat dengan kuasa naib canselor sebelum dibenarkan terlibat politik.

Hilman, Ismail, Azlin dan King Chai ialah contoh empat mahasiswa dikenakan tindakan di bawah akta tersebut atas dakwaan terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Alasan diberikan mereka yang menolak penglibatan mahasiswa dalam politik ialah supaya golongan ini dapat menumpukan perhatian pada pelajaran.

Namun yang peliknya King Chai telah membuktikan aktiviti politik tidak mengganggu kehidupan sebagai pelajar apabila memenangi Anugerah Dekan, walaupun penganugerahan itu ditangguhkan sehingga selesai perbicaraan.

Bagaimana kumpulan muda ini dapat dilibatkan dalam proses membuat keputusan sekiranya kebebasan asas mereka tidak dihormati? Mungkin kerajaan tidak menyedari penglibatan aktif dalam politik itu sebenarnya sebahagian daripada proses mengumpul pandangan anak-anak muda dalam membentuk dasar.

Tidak cukup dengan kekangan politik, anak-anak muda ini sebenarnya turut terikat dengan beban kewangan dalam bentuk pinjaman pelajaran. Bebanan ini turut mengikat kaki mereka daripada meneruskan kehidupan sebagai dewasa secara normal – kerana mereka terus menjadi penghutang besar sebelum memasuki alam pekerjaan.

Bagi memastikan mereka ini bukan sahaja bebas politik tetapi juga kewangan, kaedah pembiayaan pelajaran seperti dilakukan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), haruslah dihapuskan dengan digantikan sistem biasiswa penuh.

Seperti saya sebutkan sebelum ini, negara ini memiliki khazanah petroleum yang banyak untuk membiayai pendidikan tinggi anak-anak kita.

Dan bukan semua kumpulan mahasiswa ini berhak mengundi, kerana kelayakan mengundi hanya untuk mereka yang berumur 21 tahun ke atas. Jadi jika kerajaan serius mengambil kira pandangan golongan muda, eloklah had umur mengundi ini dikurangkan kepada 18 tahun, selaras dengan umur memasuki IPT. Mengundi juga adalah proses mengambil pandangan.

Mungkin juga tidak melampau untuk saya cadangkan supaya bukan sahaja golongan muda, tetapi kanak-kanak juga diambil pandangan mereka dalam proses pentadbiran di sekolah-sekolah atau di peringkat kerajaan tempatan. Pendekatan ini sebenarnya selaras dengan Konvensyen Hak Kanak-Kanak PBB. Jadi tidaklah pelik kalau kanak-kanak juga dipanggil berucap di mesyuarat Majlis Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) misalnya.

Usaha mengambil kira suara anak muda harus bermula dengan memerdekakan mereka dahulu. Tidak bermakna kalau keluhan mereka kita dengari tetapi bersyarat terus dengan gari dan ikatan yang mengehadkan kebebasan.


* Penulis ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai dan mengalu-alukan maklum balas di mp@nurulizzah.com

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...