mencetuskan REVOLUSI MALAYA

Nov 28, 2010

Common law, berguna tapi mengelirukan - ABDUL AZIZ BARI

Setiausaha Majlis Peguam, George Varughese, dipetik sebuah akhbar pada 22 Oktober lalu sebagai mempertahankan penggunaan common law di Malaysia. Katanya common law berguna kepada mahkamah dalam menyelesaikan kes; khususnya yang menyangkut perkara yang Malaysia tidak mempunyai undang-undang. Apa yang ada di England atau Komanwel berguna untuk menampung kekurangan itu.

Kenyataan itu dibuat berikutan soalan Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa, di Parlimen mengenai kemungkinan pemansuhan common law dalam rangka 53 tahun kemerdekaan negara. Dalam jawapannya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz berkata mengikut Akta Undang-undang Sivil 1956 (Semakan 1972) soal pemansuhan tidak timbul. Ini kerana common law hanya dipakai dalam keadaan di mana undang-undang tempatan tidak wujud.

Jawapan Nazri itu betul. Begitu juga dengan kenyataan George Varughese tadi. Saya tidak pasti mengapa Nasharuddin membangkitkan isu berkenaan. Mungkin beliau cuba membangkitkan kembali isu yang pernah disebut bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, pada 2007. Kenyataan beliau yang antara lain mencadangkan common law digantikan dengan undang-undang Islam menimbulkan keributan. Kenyataan itu dikritik dengan hebat oleh Majlis Peguam yang memang sudah tidak senang dengan Ahmad Fairuz berikutan isu Klip Video V K Lingam.

Apakah kedudukan yang sebenar? Saya setuju dengan George Varughese tentang kegunaan common law tadi. Dan sebenarnya pemakaian common law ini tidak menjejaskan undang-undang Islam pun. Sebagaimana undang-undang Islam yang sebahagiannya sudah diserap ke dalam Perlembagaan, common law juga ada terserap ke dalam undang-undang tertinggi negara itu. Dalam konteks lain ia boleh dipakai selagi pemakaian ini selaras dengan kehendak Akta Undang-undang Sivil 1956 yang disebutkan tadi. Apa yang undang-undang ini tetapkan ialah bahawa pemakaian common law itu hanya dibuat sekiranya tidak ada undang-undang tempatan dan pemakaian common law itu tidak menjejaskan keadilan. Dengan kata lain common law tidak dipakai secara borong.

Prinsip yang ditetapkan itu selaras dengan kehendak Islam. Ini kerana apa saja yang berguna, sebagaimana yang disebut dalam mafhum sebuah hadith, adalah hak dan milik orang Islam. Malangnya kita selalu menyebut common law sebagai anti-Islam dan penyebab kepada tidak terlaksananya undang-undang Islam. Ini tidak begitu tepat. Dan kesannya kepada hubungan kaum di negara ini ialah Islam ditakuti dan dicurigai. Sebab itulah orang bukan Islam mendakwa Malaysia negara sekular.

Satu sebab mengapa fenomena itu berlaku ialah kesilapan dan kekeliruan peguam sendiri. Ini jelas dalam kenyataan Ahmad Fairuz yang menimbulkan kekecohan itu. Kesilapan dan kekeliruan itu bermula dari kekaburan konsep common law itu sendiri. Apakah itu common law? Umumnya ia merujuk kepada prinsip yang digariskan oleh mahkamah di England. Ertinya common law bukan undang-undang yang dibuat Parlimen di London. Bagaimanapun definisi mudah ini sukar untuk dilihat kerana kedua-duanya sudah bercampur aduk; sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana mahkamah tidak dapat lari dari mentafsir peruntukan undang-undang yang dibuat Parlimen. Sebagaimana yang kita maklum undang-undang dibuat Parlimen tetapi ditadbir oleh mahkamah. Pentadbiran ini membabitkan tafsiran yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada undang-undang.

Selain itu common law juga merujuk kepada sistem undang-undang. Sistem ini menjadi ciri kepada sistem undang-undang yang ada di England dan Wales. Ia berbeza dengan apa yang ada di Scotland meskipun ketiga-tiga negeri ini adalah sebahagian daripada United Kingdom. Sistem common law itu berbeza dengan sistem sivil yang ada di Eropah; sebuah sistem yang berpaksikan kepada undang-undang Rom yang kemudian mempengaruhi sistem undang-undang di Jerman dan Perancis. Bagaimanapun di Malaysia apa yang dimaksudkan dengan undang-undang sivil ini ialah undang-undang selain dari undang-undang Islam. Ini bermakna ia turut merangkum common law yang kita pakai.

Malaysia ialah negara common law. Ia juga adalah sebuah negara yang sistem perlembagaan atau politiknya berteraskan sistem Westminster. Ini terjadi kerana Inggeris mentadbir negara kita sejak kurun ke 18. Prinsip pemakaian common law terhad tetapi oleh kerana kebanyakan kita lebih biasa dengan prinsip common law maka kita kadangkala mentadbir undang-undang Islam mengikut cara common law. Ini yang berlaku di mahkamah syariah dalam kes qazaf melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pihak berkuasa di situ menekankan kuasa prerogatif pendakwa yang sebenarnya diambil dari undang-undang sivil. Ini bukan sesuatu yang bersumber dari al-Quran dan Sunnah.

Saya tidak mengatakan mahkamah syariah salah. Sebagaimana yang saya katakan tadi prinsip common law ada gunanya. Mungkin dalam isu berkenaan undang-undang Islam tidak menyediakan penyelesaian. Apa pun kita harus berhati-hati supaya pemakaian prinsip sivil tidak mengetepikan prinsip Islam. Atau menyebabkan Islam itu jadi sempit atau kelihatan boleh dimanipulasikan. Atau menimbulkan banyak persoalan sebagaimana yang kelihatan dalam kes Anwar di mahkamah sivil. Mahkamah syariah perlu berhati-hati kerana imej dan tanggapan masyarakat amat penting.

Profesor Dr Abdul Aziz Bari telah mengajar undang-undang selama lebih 21 tahun.

2 comments:

NuSaNa NoSa 91 said...

pernah jumpa dgn prof dr abdul aziz bari live.. pergghhh~ mantap la dia berhujah~ ^_^

Unknown said...

yupp.. mie first tgk dyer bhujah mse debat khairy ngn husam musa.. dyer ckp mmg btol.. based on fakta!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...