mencetuskan REVOLUSI MALAYA

Nov 10, 2010

kita diwaktu tua...


Saya tertarik dengan surat dari pembaca dalam akhbar The Sun hari ini. Surat dari Gursharan menceritakan darihal realiti dan nasib warga emas khasnya terhadap layanan yang diterima dari anak-anak kandung mereka.

Kata beliau sesiapa yang menjangkakan bahawa pengorbanan membesarkan anak-anak masing-masing akan menghasilkan anak-anak yang akan menjaga dan membela mereka diwaktu tua sesungguhnya sedang bermimpi. Ada yang mengatakan anak laki-lakilah yang sering meminggirkan ibu-bapa manakala adalah harapan sedikit pada anak-anak perempuan, itupun meleset kata Gursharan.

Anak-anak perempuan pun kini kononnya cerdik membelanjakan wang yang mereka perolehi dan sedar akan beban kos dan masa yang banyak perlu diberikan dalam memelihara ibu-bapa yang tua.

Ringkasnya dunia materialistik hari ini memisahkan anak-anak dari pertanggungjawaban untuk memelihara ibu-bapa masing-masing malah mengkategorikannya sebagai kos dan beban.

Memang ini bukanlah halnya dengan semua kita, tetapi hakikatnya ia suatu budaya yang semakin menular dan boleh dilihat di sekeliling kita.

Kata Gursharan lagi ibu-bapa dijadikan tempat transit untuk cucu-cucu, dahlah separuh usia membesarkan anak-anak kini diwaktu maghrib perlu menjaga cucu-cucu pula. Ada yang menjemput ibu-bapa ke rumah masing-masing hanya apabila penjaga rumah bercuti dengan harapan si tua tadi boleh mengambil-alih tugas penjaga rumah.

Memang durhaka bunyinya, tetapi adakah anda terkecuali?

Sedih dan kekadang seram melihat dan memikirkan perkara ini. Memang ada anak-anak yang membalas jasa ibu-bapa mereka seupaya yang ada walaupun jelas tiada wang ringgit dan harta yang sesungguhnya mampu menebus jasa ibu-bapa kita itu. Tetapi ada juga yang gagal. Gagal kerana mereka sendiri perit menguruskan kehidupan sendiri, tetapi bayangkan bagaimana ibu-bapa kita dahulu?

Yang lebih serius adalah mereka yang mampu, yang berjaya hasil dari pengorbanan dan doa ibu-bapa mereka.Mereka inilah yang memang ada mengabaikan tanggungjawab sehingga memandang berat untuk memelihara ibu-bapa sendiri diwaktu tua.

Kata Gursharan beliau bukanlah seorang pesimis tetapi seorang realis. Inilah yang berlaku di hadapan mata kita hari ini (malah mungkin angkara kita sendiri). Beliau berdoa semoga mati dalam keadaan mampu menyara hidup sendiri tanpa perlu mengharapkan belas ikhsan anak-anak,masyarakat atau kerajaan.

Kita bagaimana?

Posted by roslan sms

4 comments:

abid_PM said...

yea. realitinya memang camtu.
kena banyakkan berdoa :D

Unknown said...

kte tua dismping yg tersyg..huhu

Miera Hassan said...

hmm manusia skrg..harap2 kiter xtergolong dlm golongan derhaka cmtu

Unknown said...

yup..klu kter bt baek ngn org..org pn akn bt baek pd kter :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...