mencetuskan REVOLUSI MALAYA

Nov 7, 2010

Standard kita masih di belakang - ABDUL AZIZ BARI



SEBAGAIMANA yang diduga Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi kedua-dua pilihan raya kecil di kerusi Parlimen Batu Sapi, Sabah dan DUN Galas di Kelantan yang diadakan Khamis lalu.

Bagaimanapun saya fikir dengan standard atau pun prestasi biasa BN sendiri, khususnya sebelum PRU Mac 2008, tidak ada apa yang terlalu hebat dengan kemenangan itu. Ini kerana kedua-dua kerusi itu adalah kawasan pedalaman: di Batu Sapi contohnya penduduk di sebuah kampung yang begitu miskin menganggap mengundi BN satu tugas mulia. Ini tidak berbeza dengan di Terengganu apabila orang-orang di situ menganggap stadium atau bangunan runtuh sebagai perkara biasa. Dengan kata lain orang-orang seperti ini memang layak untuk terus miskin dan mundur kerana mereka sendiri tidak mahu mencari jalan untuk berubah. Lebih teruk lagi kumpulan manusia ini menentang perubahan. Perubahan yang dimaksudkan ialah keadilan, ketelusan dan pertanggungjawaban. Kerajaan yang memerintah perlu dipertanggungjawabkan bila stadium runtuh. Di sisi perlembagaan ini bermaksud diturunkan dari kerusi kuasa.

Walaupun menang di dua kerusi itu BN masih tewas dengan Pakatan Rakyat. Ini kerana ia hanya menang di lima kerusi dari sejumlah 13 pilihan raya kecil yang diadakan sejak Ogos 2008. Selain itu DUN Galas tidak berbeza dengan Batu Sapi. Walaupun Galas dimenangi Pas dalam PRU yang lalu ia adalah sebahagian daripada kawasan Parlimen Gua Musang, yang merupakan kubu UMNO sebagaimana juga Parlimen Hulu Selangor yang dimenangi BN pada April lalu. Apa pun BN pernah kalah di kawasan yang boleh dianggap kubu sebagaimana di Sibu pada Mei lalu. Dengan sumber yang BN ada serta kelebihan yang SPR berikan BN sepatutnya menang di semua 13 pilihan raya kecil yang diadakan selama ini.

Sebab itu tidak jelas apakah kemenangan di kedua-dua kerusi itu boleh dianggap kebangkitan semula BN yang hampir tersungkur pada Mac 2008. Apa pun pilihan raya negeri Sarawak mesti diadakan pada 2011. Ramai yang mengatakan bahawa BN akan mengadakan PRU ke-13 lebih awal berikutan daripada perkembangan di Sarawak. Negeri-negeri yang Pakatan Rakyat perintah boleh terus kekal kerana di sisi undang-undang mereka tidak perlu membubarkan DUN masing-masing. Pembubaran Parlimen tidak ada kaitan dengan pembubaran DUN. Saya ingin mencadangkan supaya Pakatan Rakyat tidak memohon pembubaran kepada ketua negeri masing-masing; biarkan DUN mereka bubar secara automatik sebaik sahaja ia genap lima tahun. Pakatan Rakyat perlu bekerja mengotakan manifesto mereka dalam tempoh lima tahun itu. Mereka perlu mengajar BN bagaimana mengadakan pilihan raya yang adil dan tidak mengejut.

SPR memang cuba mencari jalan untuk menghujah mengapa semua DUN perlu dibubarkan dan PRU diadakan serentak. Hujah SPR ini adalah hujah politik dan bukan hujah undang-undang. Sebab itu di atas tadi saya katakan BN menikmati kelebihan yang SPR berikan dan sepatutnya menang di semua 13 pilihan raya kecil yang diadakan. Dalam pilihan raya kecil di Batu Sapi dan Galas itu pun kita lihat tanda-tanda yang sama. Dari tarikh pengundian hinggalah kepada cara menangani dakwaan rasuah pilihan raya BN sentiasa mendapat kelebihan.

Pilihan raya yang bebas dan adil adalah sesuatu yang cuba hendak diwujudkan oleh perlembagaan. Selain pelantikan SPR dan perlindungan yang disediakan untuk ahlinya perlembagaan menyediakan peruntukan untuk menjamin pelbagai hak dan kebebasan untuk rakyat; baik sebagai individu mahupun sebagai kumpulan. Malangnya ini semua masih tinggal ideal yang belum kita dapat nikmati. Kita perlu ingat bahawa hanya kerana BN kalah di lapan pilihan raya kecil dan hampir tersungkur dalam PRU 2008 tidak bermakna sistem kita ini adil dan tidak ada cacat celanya.

Selagi wujud perkara yang berat sebelah tadi kalau Pakatan Rakyat menang semua pilihan raya pun tidak bermakna bahawa sistem kita, termasuk SPR, adil dan tidak perlu direformasikan.

Tetapi itu semua tidak mudah untuk berlaku kerana sepertimana yang berlaku di Perak, Wilayah Persekutuan dan Kedah ia turut membabitkan badan kehakiman. Saya tidak mahu menyebut Jabatan Peguam Negara atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana kedua-dua agensi ini adalah sebahagian daripada eksekutif atau kerajaan yang memerintah. Ini diperuntukkan oleh perlembagaan. Bagaimanapun badan kehakiman dan SPR perlu bebas dan ini diperuntukkan oleh perlembagaan.

Saya tidak nampak kebebasan itu akan menjadi kenyataan selagi BN memegang kuasa. Ini kerana mereka, sejak zaman Tunku Abdul Rahman lagi, sentiasa mencari jalan untuk menyekatnya. Kedua-dua agensi yang sepatutnya bebas itu setakat ini lebih rela untuk menjadi pak turut seperti orang kampung di pedalaman di dua buah negeri yang saya katakan tadi. Di negara-negara lain, termasuk India, hakim dan anggota SPR mereka melihat bahawa mewujudkan sebuah sistem yang adil dan telus sebagai tanggungjawab.


- Profesor Dr Abdul Aziz Bari mengajar undang-undang selama lebih 21 tahun.

5 comments:

zOuL_iMMe said...

mereka mereka yang jujur dan adil sememangnya tiada tempat dalam urusan pentadbiran negara. Antara buktinya adalah kisah Tun Salleh Abbas sendiri.

Mie Kickdefella said...

hak3.. itu lh iklim n cara berpolitik taik di negara sbb han2 raya bangsa ini berkuasa!

FeeZ~Hafizah~cucuatokaji said...

hurm...secara jujur kan..saya dh makin loya tengok and dengar puak2 bn ni bersuara....heee..menyampah i taw..serius....dari hormat pemimpin2 mereka, tapi bile asik nk wat fitnah n buruk2kn org lain, naik nyampah lak...

s'din said...

pilihanraya kecil boleh le BN menang. Semue jentera parti dok berkampung kat situ. Entah berape juta pulak habis dah. nanti minyak naik le nak recover balik duit tu...

BN-barang naik (sikit lagi tunggu le yea)...

Mie Kickdefella said...

yupp.. bygkn lh..pakatan bkn lawan parti.. tp lwan seluruh jentera tenaga kjaa! mie dpt mklumat dri ahli pekida yg mberithu polis dikerah utk mngkap org asli pd hri pngundian,dibekalkn bju ameno,dan dipksa utk mngundi ameno..
haishh.. teruk2.. klu btol spt yg dilaungkn mndapat sokongan rkyat.. npe nk tkot??

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...