mencetuskan REVOLUSI MALAYA

Jan 7, 2011

MP Serdang yang dikatakan tidak menghormati masjid


Saya tertarik untuk memberikan sedikit komentar berkaitan isu MP Serdang yang dikatakan tidak menghormati masjid dengan tindakannya hadir ke masjid dalam keadaan tidak menutup aurat dengan betul.

Mungkin kerana pada dasarnya isu ini dilihat sebagai isu politik yang tentunya bertujuan untuk mendapatkan mileage politik pihak tertentu, maka tidak ramai yang mahu masuk campur untuk memperbetulkan salah faham yang timbul kerana bimbang akan dicop menyebelahi pihak-pihak tertentu.

Saya sudah pastinya tidak berminat untuk berbincang isu ini dari sudut politik, jauh sekali untuk membela mana-mana ahli politik, kerana saya bukan ahli politik yang mempunyai apa-apa agenda politik. Namun, saya hanyalah seorang Muslim yang ingin melihat agama saya diceritakan secara betul kepada bukan Muslim bagi memastikan mereka memahami Islam yang sebenar-benarnya.

Atas rasa tanggungjawab dan ingin bersikap jujur serta adil terhadap sedikit sebanyak ilmu yang ada, maka saya ingin membicarakan kesan yang mendalam daripada isu ini terhadap pemahaman agama Islam di kalangan umat Islam dan bukan Islam di Malaysia. Disebabkan isu ini disensasikan oleh akhbar arus perdana, maka sudah tentu kesannya akan dirasai oleh jutaan pembaca yang membaca akhbar-akhbar ini.

Makanya, adalah menjadi suatu keperluan untuk memperbetulkan salah faham yang telah berlaku tersebut. Jika saya berdiam diri, saya bimbang saya akan dilaknat oleh ilmu saya sendiri di akhirat kelak kerana sanggup memandang sepi salah faham terhadap agama yang saya cintai ini berlaku di depan mata saya tanpa sebarang usaha untuk menghentikannya.

Antara salah faham yang perlu diperbetulkan yang telah tercetus hasil daripada isu yang disensasikan ini ialah;

1. Tanggungjawab menutup aurat kepada umat Islam hanyalah di dalam kawasan masjid/surau

Isu ini telah memberikan gambaran kepada rakyat beragama Islam dan bukan Islam yang tanggungjawab menutup aurat hanyalah diwajibkan di dalam kawasan masjid/surau sahaja. Secara tidak langsung, akhbar-akhbar ini telah mendidik masyarakat yang membaca beritanya bahawa 'menutup aurat di luar masjid/surau adalah tidak wajib' kepada orang Islam.

Fahaman ini sudah pastilah menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar yang bukan sahaja mewajibkan menutup aurat di dalam kawasan masjid tetapi juga di luar masjid selagi mana kita berada dan berinteraksi dengan bukan mahram. Untuk bertanya hukum menutup aurat wanita Islam di luar masjid, saya yakin mufti-mufti kita tahu jawapannya.

Jika tidak, masakan isteri mereka juga menutup aurat. Mungkin mufti kita terlepas pandang untuk menegur kerana begitu selesa dengan blik pejabat berhawa dingin serta kerusi empuk bertaraf 'JUSA' yang bukan calang-calang orang boleh duduki.

2. Bukan Islam tidak dialu-alukan datang ke masjid dan surau

Meskipun akhbar-akhbar terbabit tidak bermaksud menghalang bukan Islam datang ke masjid secara total, namun cara pemberitaan dibuat memberi isyarat seolah-olah masjid dan surau tidak mengalu-alukan kehadiran bukan Islam ke masjid dan surau. Sepatutnya, akhbar harus menperincikan bagaimana caranya dan apakah etika berpakaian bagi non-Muslim yang ingin melawat masjid dan surau.

Perlu dimaklumkan juga, apabila mengunjugi masjid, adakah cara menutup aurat non-Muslim ini sama dengan cara Muslim menutup aurat di dalam dan luar masjid. Jika perlu, dapatkan pandangan daripada pakar untuk memberikan panduan tentang adab dan etika berada di masjid.

Panduan itu perlu bersandarkan dalil dan bukan berdasarkan adat kebiasaan serta sentimen tertentu. Jangan kita pula menghukum kesilapan mereka yang masih kabur dengan etika ini dengan mengatakan mereka berniat jahat untuk menghina Islam. Jika begini caranya, kita bukannya membantu mereka untuk dekat dengan Islam sebaiknya membuatkan mereka lebih jauh dengan Islam.

3. Umat Islam akan berasa sensitif dan tersinggung hanya bila ada non-Muslim yang datang ke Masjid dalam keadaan tidak menutup aurat tetapi tidak pernah berasa sensitif bila ramai umat Islam, bukan sahaja tidak menutup aurat di luar mahupun di dalam kawasan masjid, malah tidak pernah datang ke masjid.

Saya rasa, yang lebih aulanya (utamanya), kita perlu halakan perasaan sensitiviti kita kepada ramai umat Islam di luar sana yang tidak pernah ambil pusing tentang tuntutan menutup aurat dan keperluan untuk mengimarahkan masjid, daripada kita hanya sensitif dengan beberapa kerat non-Muslim yang mula untuk berjinak dengan masjid dan surau walaupun pada peringkat awalnya mereka tidak mematuhi etika berpakaian (itupun kerana kesilapan kita yang tidak memberi panduan kepada mereka).

Saya tidak bermaksud untuk menyokong non-Muslim masuk ke masjid dan surau dalam kedaan tidak menutup aurat. Namun, saya lebih memberatkan keperluan untuk mendedahkan kepada mereka adab-adab berada di dalam kawasan masjid dan surau. Ini adalah tanggungjawab kita sebagai Muslim dan juga pengurusan masjid untuk menerangkan kepada mereka agar mereka lebih faham.

Tidak hairanlah, selepas isu ini ditimbulkan oleh akhbar arus perdana, MP Serdang ini telah meminta pihak akhbar perdana ini menyenaraikan mana yang boleh dan mana yang tidak boleh.

Saya yakin, soalan ini ditanya kerana beliau masih belum faham sepenuhnya tentang adab dan etika berkaitan masjid, mana yang sensitif, mana yang tidak sensitif dan sebagainya. Namun hingga ke hari ini akhbar terbabit tidak pernah menerangkan etika dan adab tersebut kerana mungkin bukan agenda utama akhbar itu untuk memeberikan kefahaman berkaitan Islam kepada pembacanya.

Saya kira tiga isu yang saya ketengahkan ini sedikit sebanyak dapat menjadi sumbangan saya ke arah memastikan insiden-insiden ini tidak berlaku di masa aka datang.

Jika kita mengaku sebagai umat Nabi Muhammad SAW serta mengharapkan syafaat baginda di akhirat kelak, marilah kita merujuk dan mengkaji bagaimana cara Nabi SAW mendidik masyarakat non-Muslim ketika zaman baginda dalam isu-isu berkaitan Islam.

Tidak hairanlah, dek kerana hikmah dan kebijaksanaan Nabi SAW di dalam metod dakwah baginda, maka ramai non-Muslim yang tertarik dengan keindahan Islam serta memeluk agama tersebut.

Janganlah pula bila perkara ini dilihat dapat memberi laba tertentu kepada kita, maka kita sanggup biarkan ketidakfahaman masyarakat terhadap Islam terus berlarutan tanpa sebarang usaha untuk memperbetulkannya.

- Artikel iluvislam.com

Biodata Kolumnis

Nisar Mohammad Ahmad merupakan seorang pensyarah undang-undang di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Beliau sedang menunggu viva (stage terakhir sebelum mendapatkan PhD) dari University of Leicester, United Kingdom. Ayah kepada dua orang anak ini merupakan bekas Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM dan bekas pelajar terbaik jurusan undang-undang USIM.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...