mencetuskan REVOLUSI MALAYA

Mar 11, 2011

a hero name ahmad deedat


Ahmed Deedat dilahirkan di Surat, India pada tahun 1918 M. Ketika dilahirkan, ayahnya Hoosen, seorang tukang jahit telah pun berhijrah ke Afrika Selatan. Maka dengan sebab itu, Ahmed Deedat tidak mempunyai maklumat yang jelas tentang ayahnya. Ahmed Deedat sejak kecilnya hidup dalam suasana kegawatan, kepertitan, kemiskinan, tanpa pendidikan dan sebagainya yang akhirnya memaksa beliau untuk berhijrah ke negara lain.

Negara yang dipilihnya itu adalah negara yang telah dijejaki oleh ayahnya, Afrika Selatan. Beliau meninggalkan tanah airnya, India bersama tangisan ibunya pada tahun 1927. Selang beberapa bulan kemudian, beliau dilanda kejutan emosi akibat perkhabaran ibunya yang telah kembali ke rahmatullah. Di Afrika Selatan, Ahmed Deedat akhirnya telah Berjaya menemui ayahnya yang terpisah sejak dilahirkan.

Ketika berada di bumi asing ini, beliau telah memulakan episod baru dalam hidupnya. Semasa berumur 9 tahun, beliau telah memulakan pengajiannya secara formal di sebuah sekolah Inggeris. Berkat ketekunan dan ketabahannya, beliau telah fasih bertutur bahasa Inggeris dalam tempoh yang sangat singkat malah merupakan salah seorang pelajar cemerlang di sekolahnya. Namun, akibat kesempitan dan kekurangan wang yang berlaku pada dirinya sewaktu berusia 16 tahun, beliau terpaksa berhenti dari persekolahannya lalu menampung kesempitan tersebut dengan bekerja sebagai seorang pembantu kedai runcit.

Tahun 1936 merupakan detik sejarah yang besar baginya di mana bermula dari situlah kisah hidupnya sebagai seorang pendakwah Islam yang termasyhur diseluruh dunia hari ini bermula. Pada waktu itu, beliau bekerja di salah sebuah gedung membeli-belah milik seorang peniaga Islam. Gedung tersebut pula bersebelahan dengan pusat penyebaran dakyah Kristian yang terkenal sebagai pusat misionari Kristian dengan nama Natal South Coast. Setiap waktu sepanjang menjalankan tugas di gedung tersebut, beliau kerap menerima tetamu misionaris yang ingin benar cuba mempengaruhinya supaya memeluk Kristian di samping mencela agama yang dianuti iaitu Islam.

Dengan keteguhan Iman yang tersemai di dadanya di samping hidayah Allah s.w.t yang diturunkan,muncul di lubuk hatinya satu cetusan dan semangat berkobar-kobar untuk menghalang kegiatan dan propaganda kristian yang palsu ini. Guru pertama beliau yang telah banyak memberi maklumat dan panduan dalam menghadapi serangan dakyah kristian ini adalah sebuah kitab dalam bahasa Urdu yang terkenal dengan terjemahan Arabnya dengan nama Izhaarul Haq.

Kitab tersebut telah dikarang oleh seorang ulama India yang bernama Rahmatullah al-Hindi yang digunakan untuk mempertahankan Islam dari serangan Kristianisasi yang berleluasa ketika itu semasa penjajahan British di India. Ahmed Deedat juga telah mengkaji kandungan kitab Bible sebagai maklumat untuk menghentam kembali kepalsuan yang terdapat dalam agama Kristian.

Hasilnya, Ahmed Deedat telah berjaya melawan tetamu misionaris tersebut malah dapat mematahkan hujah mereka satu persatu ketika mereka mengemukakan celaan terhadap Islam. Beliau juga telah menyusun banyak perdebatan dengan paderi-paderi yang tinggal di daerahnya di mana kesemua debat tersebut dimenangi oleh Ahmed Deedat sendiri bahkan menjadikan Ahmed Deedat sebagai guru mereka. Kejayaan yang beliau perolehi ini menyebabkan beliau terkenal sebagai seorang pendakwah dan pembela Islam.

Saban hari kedengaran gerakan Kristianisasi dan misionaris Kristian makin berkembang dengan pesatnya di kebanyakan negara Islam, menyebabkan tekad dan semangatnya semakain bernyala-nyala untuk menyekatnya. Ketika beliau berumur 30 tahun ke atas, pelbagai usaha telah dilakukan. Antaranya, penubuhan Institut As-Salam, mengadakan kelas pengajian Bible di samping kerap menyampaikan syarahan di merata dunia. Beliau juga merupakan ahli dan menjawat jawatan Presiden pertubuhan Pusat Propagasi Islam Sedunia (IPCI) yang berpusat di London dan Dubai.

Ahmed Deedat juga kerap kali dijemput oleh institusi gereja di seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Britain, Sweden, dan beberapa negara Eropah yang lain untuk perdebatan mencari kebenaran antara Islam dan Kristian. Kemenangan acapkali berpihak kepada beliau. Berkat kebijaksanaan dan ketabahan beliau, ramai penganut Kristian mula curiga dengan agama yamg mereka anuti selama ini. Tidak kurang juga yang kembali kepada Islam. Seorang paderi terulung Amerika yang bernama Murrock Jemmi Sogart, ketika tertewas di dalam siri perdebatan dengan Ahmed Deedat, akhirnya mengakui kepalsuan agama Kristian lantas melafazkan kalimah syahadah, Allahu Akhbar.

Pada tahun 1986, Ahmed Deedat telah dikurniakan Anugerah Antarabangsa Raja Faisal di Arab Saudi sebagai tanda menghargai jasa beliau dalam memartabatkan Islam dan membelanya dari serangan Kristianisasi.

Ahmed Deedat mempunyai lebih 20 karangan mengenai siri pemurniaan Islam dan pembelaannya yang telah tersebar di seluruh dunia pelusuk dunia. Antara karangan beliau yang terkenal adalah:

  • Combat Kit (Tentera Yang Bersiap Sedia)
  • Christ In Islam (Nabi Isa di dalam Islam)
  • Al-Quran, The Miracles of Miracles (Al-Quran, Keajaiban dari segala Keajaiban)
  • Cruxifixion or Cruci-Fixtion? (Penyaliban, Rekaan atau Benar?)
  • Is The Bible God’s Word? (Adakah Bible Kalam Tuhan?)
  • What The Bible Says About Muhammad PBUH? (Apa yang diUngkapkan Bible tentang Nabi Muhammad s.a.w?)

Sesungguhnya Ahmed Deedat merupakan satu-satunya tokoh teragung Islam yang berjuang di atas rasa kesedaran yang perlu dijadikan idola oleh umat Islam. Semoga Allah memberi ganjaran yang setimpal atas usaha beliau selayaknya. Amin.



2 comments:

Anonymous said...

Saya ingat, dulu dia nak masuk Malaysia. Tapi dihalang. Tak pasti sebab

Unknown said...

eh ader ker..??
klu dihaalang tuhh,,spe lg..?
kjaaan melayu lh yg hlg kot :) huahuahua

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...