mencetuskan REVOLUSI MALAYA

Nov 22, 2010

Antara kemakmuran dan kekontangan Oleh - Nurul Izzah Anwar

Kini kita berada dalam musim Hari Raya Aidiladha dengan Makkah menjadi tumpuan jutaan umat Islam yang mengerjakan Rukun Islam kelima.

Kemakmuran kota Makkah pada peringkat awalnya sangat bergantung dengan kewujudan air dari telaga Zamzam yang wujud tidak lama selepas ketibaan isteri Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan puteranya Nabi Ismail.

Sumber air telaga itulah yang pada awalnya digunakan oleh Siti Hajar sebagai bahan pertukaran untuk makanan daripada pedagang yang melalui kota Makkah.

Tanpa sumber air itu, Makkah adalah tempat berbatu yang kering-kontang.

Saya terkenangkan kisah telaga Zamzam dan kemakmuran kota Makkah pabila melawat Sarawak baru-baru ini.

Sungai-sungai di negeri terbesar Malaysia itu kini berhadapan dengan ancaman yang bakal membawa bencana kepada penduduk pedalaman sekiranya tidak ditangani.

Saya ke pedalaman Bintulu untuk program parti baru-baru ini dan saya terkejut dengan bahaya yang dihadapi penduduk-penduduk yang rata-ratanya bergantung kepada alam untuk terus hidup.

Penduduk-penduduk di sana sememangnya sudah lama menghadapi ancaman yang menyebabkan mereka terpaksa melakukan perubahan hidup yang drastik akibat pembalakan tidak terkawal dan juga projek empangan hidroelektrik Bakun.

Bintulu asasnya adalah bandar pesisiran pantai yang menerima faedah pembangunan hasil penemuan gas asli di perairannya. Bintulu kini sedang pesat membangun dan menjadi antara destinasi utama mencari pekerjaan bagi penduduk pedalaman Sarawak.

Di Bintulu juga terdapat kawasan-kawasan petempatan kecil yang terdapat di sepanjang Sungai Kemena yang masih lagi berperanan sebagai ‘lebuh raya’ bagi sesetengah penduduk.

Salah satu destinasi yang saya kunjungi adalah Kampung Labang, hampir dua jam perjalanan dari bandar Bintulu. Tempat ini juga hanyalah tiga jam perjalanan dari projek empangan Bakun.

Hati saya tersentuh melihat wanita-wanita berusia yang menaiki sampan untuk bertemu saya.

Saya juga sempat ke Kampung Assap yang terkenal itu kerana penduduk di sini adalah mereka yang dipindahkan akibat projek Bakun.

Daripada perbualan dengan mereka saya diberitahu, penempatan semula menjadikan mereka semakin susah. Tanah pampasan yang mereka peroleh tidak dapat memberikan hasil pulangan yang mereka harapkan.

Sayang sekali saya tidak sempat untuk singgah di rumah-rumah dan kampung-kampung yang terletak di sepanjang sungai. Mungkin banyak lagi kisah sedih yang akan saya dengar.

Apa yang ingin saya ceritakan di sini adalah kumpulan penduduk yang saya temui di sini sedang berhadapan dengan ancaman terhadap gaya hidup mereka kerana gangguan ke atas sungai-sungai.

Ambil contoh Sungai Kemena yang merupakan laluan penting untuk penduduk pedalaman ke bandar Bintulu.

Sungai ini kalau dilihat dengan mata kasar masih cantik bagi saya.

Anak saya Harith yang turut mengikut saya ke Bintulu cukup teruja apabila terlihat sungai sambil menuding jari menunjukkan kagumnya.

Tapi saya mendapat tahu air sungai ini semakin cetek akibat kelodak dan mendapan. Saya syak puncanya pastilah pembalakan besar-besaran di hulu.

Selain hilangnya satu laluan penting, tidak hairan kalau Bintulu akan menjadi satu kawasan yang terdedah kepada banjir seperti Sibu. Semasa saya di Sibu untuk pilihan raya kecil Mei lalu, saya lihat sedikit hujan sahaja sudah cukup untuk menenggelamkan jalan-jalan di bandar itu.

Sedangkan Sibu adalah bandar yang direntasi Sungai Rajang – sungai terpanjang di Malaysia.

Bercakap tentang Rajang, baru-baru ini sungai itu berhadapan dengan bencana terburuk yang pernah ia alami – laluan itu tertutup oleh kayu-kayu balak dan sampah-sarap pembalakan yang datang dari Hulu.

Tidak jelas apa puncanya. Mungkin tanah runtuh di kawasan pengumpulan balak. Belum ada penjelasan serius dari pihak berkuasa.

Akibat bencana itu laluan sungai ke pekan-pekan di pedalaman, terus tertutup.

Bagi orang Semenanjung yang tidak memahami dahsyatnya bencana ini – ia umpama menutup lorong-lorong Lebuhraya Utara-Selatan dengan longgokan ribuan kontena dari Seremban hingga Sungai Besi.

Belum pun punca bencana Rajang ini diketahui, timbul pula kisah bahawa Sungai Rejang semakin kering akibat proses pengaliran air ke empangan Bakun.

Projek mega Bakun ini seluas republik Singapura, dan proses mengalirkan air sungai ke dalamnya akan mengambil masa kira-kira tujuh bulan.

Sekali lagi, tidak terdengar jaminan atau usaha-usaha kerajaan untuk menenteramkan kerisauan penduduk, sedangkan aktiviti pembalakan atau pembinaan empangan boleh diurus baik untuk mengelakkan kesan buruk kepada alam sekitar.

Saya takut untuk membayangkan apa akan terjadi kepada penduduk pedalaman yang terjejas dengan projek Bakun.

Apakah agaknya nasib orang-orang kampung Sarawak kalau sungai-sungai negeri itu menjadi kering-kontang seperti Makkah sebelum tibanya Siti Hajar dan Nabi Ismail?

Hal inilah yang menjadi renungan saya sempena Aidiladha tahun ini. Eid Mubarak untuk semua, sama ada di Semenanjung, mahupun di Sabah dan Sarawak.



* Penulis ialah ahli Parlimen Lembah Pantai dan mengalu-alukan maklum balas di mp@nurulizzah.com

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...